"Tapi kan bang, kesian saya tengok anak kita tu, abang layan dia macam nak taknak je...dia dah be..."
"Diam! Abang penat...!"
Si isteri hanya mampu terdiam manakala si suami pula merebahkan belakangnya ke atas tilam yang empuk lagi selesa.
Dan kedengaran sedikit esakan dari si isteri sewaktu dia menoleh wajahnya ke belakang dan titisan air matanya yang pertama untuk hari itu telahpun mencecah pipinya.
Ego vs Emosi sudah sinonim dalam hubungan antara dua insan berlainan jantina.
Hmm, sebentar, dulu sewaktu awal perkenalan dan tahun-tahun awal perkahwinan, semuanya manis belaka. Hempedu pun rasa macam madu. Sekarang, nak cari madu pun susah. Mengapa agaknya?
Lelaki sudah biasa disinonimkan dengan 'ego yang tinggi', manakala wanita pula dengan 'emosi'.
Sebenarnya semua orang punya ego dan juga emosi, cuma bergantung kepada cara dia mengawal dan menunjukkannya. Dalam keadaan tertentu, ego yang berpada-pada itu penting dan emosi harus dikawal sebelum ia mengawal keadaan. Namun, dalam sesetengah keadaan lain pula, campaklah ego itu jauh-jauh kerana emosi harus diambil kira terlebih dahulu.
"Orang laki-laki ni susah la. Dia rasa dia je betul!"
Baik, berapa kerap kita dah dengar ayat tersebut? Aku rasa macam banyak kali dah kot.
"Pompuan ni kan, sikit-sikit nangis. Hesh leceh!"
Er, yang tu pun ayat common dah kot.
Mari kita mulakan dengan ego. Ego, menurut apa yang aku pernah baca, terbahagi kepada empat. Dua daripadanya membawa lebih kebaikan daripada dua jenis ego yang lain. Anggaplah ego ini ibarat sebuah duit syiling dengan dua permukaan bercop 'baik' dan 'buruk'. Peluangnya adalah 50:50.
- Ego yang terkawal adalah ego yang mampu ditundukkan oleh seseorang, padahal pada masa tu dia boleh je nak berlagak pandai untuk tutup segala kelemahan dia. Namun, dia tidak berbuat sedemikian.
- Ego yang bertempat pula adalah ego yang digunakan bukan semata-mata untuk kepentingan sendiri, malah untuk kebaikan orang di sekelilingnya juga. Ego seperti ini dapat aku contohkan seperti pegawai polis yang menolak rasuah. Dia tinggikan egonya di hadapan penawar rasuah kerana dia tahu, dia bukan sahaja perlu menjaga dirinya dan jawatannya daripada tercemar, tapi ingin menjaga keluarganya kerana rezeki yang haram hanya akan memorak perandakan suatu rumah tangga.
- Ego yang sentiasa digunakan untuk menutup kelemahan. Inilah antara ego yang paling banyak dijumpai kot. Setiap kali melakukan kesilapan, susah benar nak ucapkan 'maaf' walaupun dalam hati mengakui salah diri sendiri.
- Ego yang menjadi tuan kepada manusia. Orang jenis ini agaknya memang sifu la dalam bab ego ni. Pandangan sesiapa sahaja ditolak. Hanya dia sahaja betul. Bos salah, dia betul. Jiran salah, dia betul. Isteri pun salah, suami sahaja betul. Ini agaknya yang paling bahaya.
Emosi pula, tidak wajar dikaitkan dengan wanita sahaja. Itu tidak adil, kerana Allah telah mengurniakan hati kepada lelaki dan juga wanita dan telah menurunkan satu bahagian kasih sayangNya daripada 100 bahagian yang dicipta kepada dunia. Jadi, jika mengikut fitrah, mana mungkin ada manusia dilahirkan tanpa emosi sehingga ke akhir hayatnya.
Kaum wanita lebih kuat emosinya berbanding kaum lelaki. Adakah itu satu kelemahan? Jika kita jawab 'ya', kita sudah silap. Salah besar kot! Emosi wanita itu punya kelemahan, dan juga kelebihan. Seperti ego juga. Ego bukan kelemahan semata-mata kerana jika digunakan pada jalan yang betul, akan membawa kebaikan.
Seperti yang kita sedia maklum, wanita mengalami ketidakseimbangan hormon untuk tempoh tertentu dalam kitar biologinya. Sepanjang tempoh ini, emosinya akan sedikit sebanyak terjejas. Kadang-kadang sewaktu emosi tak stabil ni, perkara remeh pun wanita boleh terasa padahal selama ni ok je bergurau tentang hal tersebut. Hal kecil pun boleh termarah padahal selama ni gelak santai je.
Jangan anggap itu kelemahan. Malah itu adalah kelebihan. Kitar biologi tersebut menunjukkan bahawa wanita ini sentiasa disucikan dirinya sekali setiap beberapa minggu. Kalau lelaki? Berbekam je lah contoh terdekat.
Mengapa aku katakan bahawa emosi wanita ini membawa kebaikan? Jika tanpa emosi yang kuat, mampukah kaum wanita ini menjaga anaknya dari kecil sehingga besar? Di manakah kita sekarang jika ibu kita dahulunya tak berapa nak jaga kita sewaktu kecil? Acuh tak acuh sahaja sampaikan kita pun terabai.
Dan siapakah yang dapat menundukkan ego si lelaki yang menggunung?
Wanita. Kalau suruh lelaki tundukkan ego masing-masing, boleh gaduh besar jadinya=p
Wanita punya kemampuan untuk menahan beban yang amat berat di atas kedua bahunya. Beban si lelaki seperti mencari nafkah, bekerja siang malam, adalah sesuai dengan kelebihan fizikal yang dikurniakan oleh Allah, manakala beban wanita pula seperti menjaga anak siang malam, mengurus suaminya tidak kiralah suaminya itu berlaku baik atau tidak kepadanya, sesuai dengan kekuatan emosi yang dia ada.
Jika lelaki boleh tahan bekerja bawah terik matahari, wanita pula mampu menahan kerenah anak-anak tanpa mudah berkata "hesh leceh la budak ni!".
Kadang-kadang wanita tidak mintakan wang dan berlian semata-mata. Cukuplah si suami memanjakannya walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berkahwin.
Wanita tidak mintakan wang dan permata sebagai ganti kata-kata kasar si suami terhadapnya, cuma ucapan 'maaf' yang dinantikan.
Agak-agaknya sang suami yang keras macam batu sahajalah yang takkan tumpas dengan airmata si isteri.
Jadi marilah kita cuba melihat keadaan dari sudut yang lagi luas. Ego bukan bermakna buruk jika digunakan untuk hal-hal yang membawa kebaikan. Emosi pula perlulah dikawal dan digunakan ke arah yang betul, kerana ianya adalah kurniaan yang cukup kuat bagi wanita untuk menampung beban dunia ini.
Egolah tapi bukan untuk menidakkan perkara yang benar atau menidakkan hak-hak seseorang, seperti hak seorang isteri terhadap suaminya. Beremosilah, tapi berpada-pada dan bukannya emosi itu dibiarkan meliar kepada pujuk rayu ke arah maksiat.
Lelaki yang mampu melenturkan egonya dan wanita yang mampu mendidik emosinya ke arah yang betul pasti akan lebih dihormati oleh masyarakat.
Ego dan emosi itu adalah kurniaan Allah kepada kita. Dia tidak akan mengurniakan sesuatu kepada kita tanpa ada gunanya:)
No comments:
Post a Comment