Petang yang dingin. Langit berwajah muram. Ketulan salji turun memutihkan muka bumi ini, menyejukkan mata yang memandang. Tentu lebih dingin jika pakaian di badan ini tidak setebal mana.
Aku telah sampai ke rumah. Jam telah mencecah pukul 3.41 petang. Tidak sampai 24 jam lagi untuk ujian ketiga Organic Chemistry esok harinya. Masa semakin suntuk, tapi semangat entah ke mana. Hilang. Aku hairan. Mengapa?
Dan secara tiba-tiba, aku teringat akan sebuah kisah. Semangat untuk aku membuka kembali buku setebal dua inci itu mungkin belum bangkit, namun jari-jariku begitu cergas di atas papan kekunci hitam ini. Mungkin, selepas aku bercerita, semangat itu akan kembali. Siapa tahu? Bagaikan salji yang memenuhi jalan di hadapan rumahku. Dibiarkan menebal, perlahanlah perjalananku. Dicuci, aku kembali laju berjalan.
Sebuah kisah, tidak terlalu lama. Baru sahaja, jika aku perlu menyatakannya dengan lebih jelas. Kisah yang ini tak patut wujud. Kisah bukan hanya antara engkau dan aku, namun lebih daripada itu. Kisah antara kita semua.
'Hairan' itu telah acapkali aku dengar dari benakku sendiri. 'Hairan' yang muncul apabila kotak fikiran ini memusing kembali kisah ini. Kisah yang wujud kerana situasi dikuasi emosi. Kisah yang kekal wujud kerana keengganan untuk menerima menguasi kesedaran untuk berubah. Kisah yang wujud kerana kanak-kanak itu telah hilang dari dalam diriku. Kanak-kanak yang kurang mengerti apa itu hak dan batil. Kanak-kanak yang sangat tamak itu beransur tiada. Dihalau olehku sejauh-jauh mata memandang, dan ku harap dia takkan kembali. Carilah yang dewasa di dalam ruang ini. Berhentilah mencari kanak-kanak tersebut. Dia telah hilang.
Kanak-kanak itu banyak masanya. Dilebihkan masa untuk bermain. Kurang masa untuk hal-hal yang dianggap masalah orang yang dewasa. Visinya terhad dek kurangnya pengalaman dan kuatnya emosi.
Si dewasa pula sedar akan silapnya yang dahulu. Si dewasa juga telah menjinakkan emosi tersebut. Diikatnya sang emosi itu pada sebuah tiang yang dipanggilnya tiang 'rasional'. InsyaAllah, terkawal sang emosi itu, kerana dia tidak mahu sang emosi itu muncul dahulu sebelum sang kewarasan sewaktu saat-saat keputusan penting perlu dibuat. Biarlah akal kurniaan Tuhan ini tiba terlebih dahulu berbanding sang emosi dahulunya liar itu.
Sayang seribu kali sayang pun masih belum berguna. Kisah ini harus ditamatkan. Bukan dengan beralah, kerana beralah tanpa mengambil kira rasionalnya adalah perwatakan si kanak-kanak, tetapi bukan si dewasa yang punya pendirian.
Kisah ini perlu sampai ke penghujung, bukan dengan pujuk rayu, tapi dengan kesedaran dan semangat yang baru. Kesedaran yang wujud daripada akal yang dibiarkan menguasai situasi, bukannya emosi dan semangat yang wujud dek minda yang positif.
Kisah ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, bukan dengan cara seorang budak, tapi seorang dewasa yang ingin faham akan situasi semua pihak sebelum mengeluarkan kata putus.
Dan kisah ini tidak akan tamat selagi diri ini acapkali diendahkan apabila kata-kata dari diri ini yang bermakna untuk bertanya khabar tidak dipedulikan.
Kisah ini tidak akan tamat selagi engkau tidak sedar bahawa 'sayang' itu dapat diertikan melalui berjuta-juta cara yang sentiasa berubah seiiring dengan usia dan situasi,
dan 'sahabat baik' itu bukan sekadar dua-dua pihak berkata-kata lebih kerap daripada 'sahabat' sahaja.
Tamatnya kisah ini, bukan tamatnya sebuah episod persahabatan. Tapi tamatnya kisah ini bermakna hilangnya penat yang bersarang dalam diri ini kerana wujudnya masalah ini. Penat yang wujud daripada rasa yang dipendam. Dan penat ini berkurang sedikit setelah kisah ini sedikit sebanyak terluah di sini. Aku tamatkan cerita akan kisah ini di sini.
Aku akan cari semula semangat untuk sejam dan dua puluh minit untuk esok harinya.
bobi. x paham. explain la
ReplyDeletememang bahasa nawi!pasangan bahagia kakju..
ReplyDelete